Dewasa ini, hidup kita telah diselubungi dengan hiburan terutamanya irama lagu. Teknologi pada masa kini membolehkan kita mendengar lagu walaupun di pelbagai tempat dan waktu. Irama dan lagu yang memenuhi citarasa semasa berkumandang menerjah gegendang meresap terus ke jiwa. Semua masalah dan ketegangan akan terlerai biarpun masih belum selesai. Pelbagai rentak, irama dan nada dapat kita nikmati. Hal ini kerana hasil pemikiran dan daya usaha yang menggunakan bahasa Melayu yang indah dan kreatif oleh para pencipta lirik. Namun, terdapat juga sesetengah penulis lirik yang gagal menggunakan bahasa Melayu dalam lirik mereka dengan betul.
Penggunaan bahasa dalam lirik lagu bergantung kepada pengetahuan masing-masing (penulis lirik) dan peringkat masyarakat yang mendengar. Mereka mesti belajar mengenali seni bahasa untuk menyampaikan secara terbaik kepada pendengar. Oleh itu, penggunaan bahasa Melayu dalam lirik itu harus sejajar dengan cadangan ahli akademik dan ahli puisi tersohor. Iaitu sebagai pejuang bahasa, penggunaan bahasa Melayu yang digunakan dalam lirik harus menepati kriteria bahasa Melayu.