Bagi komposer, penulis lirik dan penyanyi, M. Nasir tugas menggubah dan menulis lirik lagu bukan sekadar untuk menghasilkan sebuah lagu yang merdu tetapi turut bersangkut-paut dengan perkembangan budaya dan bahasa, terutamanya bahasa Melayu.
Pada pandangannya, pemilihan bahasa yang terkandung dalam bait-bait lirik itu akan memberikan kesan tersendiri kepada pendengar berdasarkan pertimbangan, pengalaman dan pengetahuan mereka terhadap seni dalam lagu.
Pada pandangannya, pemilihan bahasa yang terkandung dalam bait-bait lirik itu akan memberikan kesan tersendiri kepada pendengar berdasarkan pertimbangan, pengalaman dan pengetahuan mereka terhadap seni dalam lagu.
M. Nasir berkata penggubah dan penulis lirik lagu seharusnya mempunyai sikap bertanggungjawab ke atas setiap hasil karya yang mereka hasilkan kerana ia bukan sekadar untuk menghiburkan pendengar.
Bagaimanapun, pendekatan yang mungkin digunakan bergantung kepada pemilihan dan citarasa masing-masing sama ada menggunakan directness ataupun secara tersirat menggunakan bahasa puitis, katanya.
"Pendekatan orang seni itu (dalam menyampaikan lagu) kadang-kadang terlalu halus untuk difahami oleh masyarakat. Kadang-kadang dia pukul jauh ataupun tepat, bergantung kepada aliran (genre muzik) masing-masing.
"Penggunaan bahasa (dalam lagu) bergantung kepada pengetahuan masing-masing dan peringkat masyarakat yang mendengar. Dia mesti belajar mengenali seni bahasa untuk menyampaikan secara yang terbaik kepada pendengar," jelasnya.