Gaya bahasa adalah pengungkapan idea, gagasan, pemikiran seorang penulis yang meliputi hierarki bahasa iaitu kata, frasa, klausa, bahkan wacana untuk menghadapi situasi tertentu.
Gaya bahasa mencakupi diksi, struktur perkataan, pola rima yang digunakan sasterawan atau yang terdapat dalam karya sastera. Gaya bahasa adalah susunan perkataan yang terjadi kerana perasaan yang timbul atau hidup dalam hati pengarang (Slamet Mujana dalam Pradopo dalam Sowikromo, 2007:7).
Antara jenis gaya bahasa yang dapat dikenal pasti digunakan komposer dalam penulisan lirik ialah:
Personifikasi. Membawa maksud memberikan sifat manusia kepada benda- benda mati, binatang, idea, atau hal-hal yang abstrak. Contoh, lagu ‘Cinta Pantai Merdeka’ (Jinbara)
Disaksikan laut daun nyiur melambai…’
Simile. Merupakan unsur yang digunakan untuk menyamakan sesuatu objek atau benda dengan sesuatu benda yang lain. Unsur ini menggunakan perkataan seperti umpama, bak, dan laksana untuk menunjukkan perbandingan. Contoh, lagu ‘Milik siapakah gadis ini?’ (Sudirman)
‘Milik siapakah gadis ini,
Wajah lembut bagaikan sutera…’
Hiperbola. Merupakan sejenis bahasa kiasan untuk menyatakan sesuatu secara berlebih- lebihan daripada maksud yang sebenarnya. Contoh, lagu ‘Seribu Tahun’ (Imran Ajmain).
‘Rela ku menunggu mu,
Seribu tahun lama lagi,
Repetisi. Merupakan pengulangan kata dalam baris yang sama. Contoh, lagu ‘Revolusi’ (Bunk face). Pengulangan perkataan ‘rasional’ dan ‘masa’ dalam baris yang sama.
‘ Rasional diriku, rasional diri mu
Penentu masa, masa depan ku…’
Anafora. Merupakan pengulangan kata pada awal baris secara berurutan. Contoh, lagu ‘Hanya Kau Yang Mampu’ (Aizat). Pengulangan ayat ‘cerita tentang’ pada setiap baris
‘Cerita tentang masa lalu,
Cerita tentang kau dan aku…’
Epifora. Merupakan pengulangan kata pada akhir baris. Contoh, lagu ‘Bencinta’ (Faizal Tahir). Pengulangan ayat pada akhir baris iaitu ayat ‘pada mu’.
Aku cinta pada mu
Benci pada mu
Cinta pada mu…’